Sunday, 3 May 2015

BAB 1

Zara memandang sepi novel-novel yang tersusun kemas di atas mejanya itu. Dia memang seorang yang pembersih dan kemas. Dia tidak suka kalau barang-barangnya bersepah-sepah. Setiap hujung minggu pasti dia akan menyibukkan dirinya mengemas segala ruang di dalam biliknya itu. Kata orang tua-tua, tidak manis apabila bilik seorang gadis sunti dibiarkan tidak berkemas.
“Apa ye maksud cinta?”, halus sahaja ucapannya, kedengaran seperti orang kebingungan.

 Telefon pintar yang terdampar di sisi meja, ditariknya perlahan-lahan. Dia terus sahaja memandang kosong skrin telefon pintar itu. Kosong. Hatinya membungkam. Dia mengeluh panjang.

“Masih sibuk dengan kerjakah dia? Takkan sekeping message pun susah hantar? Kedekut sangatkah?” getus hati kecilnya.

            Sudah hampir tiga minggu, Azril menghilangkan diri tanpa khabar berita. Kali terakhir, dia cuma menghantar pesanan kepada Zara berbunyi,

Saya busy! Banyak benda lain lagilah
saya boleh buat daripada melayan kerenah awak
yang tak pernah habis ni. Menyampah. Dah la,
saya banyak kerja ni. Nantilah saya message awak balik.

            Zara akur sahaja walhal hari itu, dia hanya mahu bertanyakan khabar Azril sahaja. Mungkin soalan yang dilontarkan Zara itu menganggu Azril. Zara cuba memberi ruang kepada Azril, dia tidak mahu menjadi perempuan yang terlalu mengongkong seperti rakan-rakannya. Caranya berbeza menyebabkan ada juga yang membidasnya, ‘lelaki, kita tak boleh beri kebebasan sangat, nanti terbang tak pulang-pulang dia!’. Zara hanya mampu mengangguk sahaja. Bagi sesetengah perempuan, lelaki ini seperti binatang peliharaan gamaknya, perlu diawasi setiap masa! Fikir Zara. Pintu bilik Zara dikuak luas. Berlari-lari kecil rakan baiknya, Nadhirah mendapatkan Zara yang masih setia dengan telefon pintarnya di atas kerusi belajar.
“ Zara! Zara! Zara,” Tercungap-cungap Nadhirah sambil dia mengurut-urut dadanya yang masih semput itu.
Berlari barangkali. Zara yang disergah itu terkejut, matanya membulat.
“Haish, engkau ni, bagi salam pun tidak.  Masuk-masuk terjerit macam orang histeria, kenapa ni?” Tanya Zara sambil ketawa kecil.
Lucu melihat rakan baiknya itu seperti baru sahaja dikejar Pelesit.

Tangan Nadhirah dilayangkan ke udara tanda supaya Zara bersabar, menunggu dia melepaskan penatnya. Laju tangannya menuang air kosong ke dalam gelas yang telah Zara sediakan di sisi katil. Diteguknya air kosong itu sehingga habis.
“Haa, ada gossip panas, meletup,berdentum-dentum bak bunga api ni!” Kata Nadhirah penuh semangat.
Zara mengangkat keningnya tanda tanya.
“ Az-azril, tunang kau! Ada skandal baru! Kau tahu ke tidak ni? Fuhhh, perempuan tu siap post gambar mesra lagi dengan Azril. Meh, sini kau kena tengok ni?” Terus sahaja di’on’kan komputer riba Zara yang berada di atas meja belajar yang posisinya menghadap Zara.  Jari jemari Nadhirah menari-nari di atas papan kekunci komputer ribanya. Lagaknya tak ubah seperti agen perisik. Laman sesawang twitter terbuka dihadapan matanya.
‘SummerScent’? Getus hati Zara. Dadanya berombak kencang.
“Tuuuu diiaaa…. Kau tengok Zara! Kau tengok betul-betul. Azril ni, tak salah lagi. Amboi, bukan main mesra lagaknya. Suap-suap kek bagai. Astaghfirullahala’zim. Kalau ini tunang aku Zara, memang aku naik flight hari ni juga ke Perlis, ganyang si betina gatal ni. Ewah-ewah, kau tengok tweet dia ni @AzrilHadi My lovely baby manja belanja I Secret Recipe, thank you, love you darling’ Ini sudah yang melampau Zara!?” Kata-kata Nadhirah bergema kuat digegendang telinganya. Hatinya seperti diremuk-remuk teruk. Dibalik tubir matanya, ada sebutir air mata ingin jatuh ke pipi. Cepat-cepat diseka air matanya sebelum membasahi pipi gebunya.
“Zara, kau dengar ke tidak ni apa yang aku cakap ni?” Soal Nadhirah yang masih setia dengan akaun twitter perempuan itu.
“ Perempuan jenis macam gini dia pun cair? Rupa pun bukanlah cantik mana, gedik je lebih. Aiii, nak je aku telefon maki-maki dekat perempuan ni. Aku rasa, satu UNIMAP pun tahu si Azril ni sudah berpunyakan? Boleh pulak dia balun perempuan lain belakang kau, Zara” Marah Nadhirah. Bibirnya terkumat kamit menghambur kemarahan yang berbuku didadanya.

            Hairan, kenapa sejak dari tadi Zara hanya membisu sahaja. Nadhirah terdiam. Dia kenal benar dengan Zara yang orangnya bukan jenis yang suka menunding jari melulu-lulu,meledak marah secara rambang. Dia mengalihkan pandangannya kearah Zara. Sayu sahaja wajah anak gadis dihadapannya seperti sudah dijangka perkara sebegitu akan terjadi.  Nadhirah melutut disisi Zara.
“ Zara, aku tahu kau sedih, aku tahu kau terlalu cintakan dia, Zara. Tapi ini sudah entah sudah berapa kali dia hancurkan hati kau, Zara. Kau masih mahu teruskan ke Zara?” Lembut sahaja suara rakan baiknya itu. Zara memandang Nadhirah. Ada senyuman kelat dibibirnya.
“ Nad, aku nak mandi, dah petang ni.” Lekas sahaja dia mengangkat punggungnya dari kerusi dan terus sahaja dia menarik tuala yang tergantung di almari.
“ Ya Allah, kasihan sungguh Zara. Kau tabahkanlah hatinya, Ya Allah.” Doa Nadhirah.

            Malam-malam Zara sepi. Sepi tanpa khabar berita Azril. Masakan dia tidak rindu pada lelaki itu. Hari itu digagahkan juga menalefon Azril. Tidak sudah tidak sanggup lagi digantung tidak bertali. Sakitnya menjerut. Laju jarinya dia mendail nombor telefon Azril. Pandangannya dilontarkan ke balkoni. Simbahan lampu jalan itu sedikit menenangkan hatinya yang sakit.
“ Hello, assalamualaikum sayang~” Kedengaran jelas suara Azril.
 Lagaknya seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Wa-waalaikumusalam warahmatullah…” Bergetar suara Zara, seakan ada sesuatu yang menyekat kerongkongnya. Talian diam. Zara membisu begitu juga Azril. Sesekali terdengar seperti dia sedang mengunyah sesuatu dihujung talian. Zara gagahkan juga hatinya. Azril betul-betul seperti tidak tahu apa-apa.
“ Awak tengah makan?”
“ Mhm…”
“ Awak…” Zara mengetap bibirnya.
“ Ye.” Jawab Azril malas.
“ Siapa Summer Scent?” Zara amat memerlukan jawapan daripada Azril dan dia berharap, Azril memberikan jawapan yang dia juga mahu dengar.
“ Emmm…” Azril seperti acuh tidak acuh sahaja. Zara menyeka air matanya yang sudah mula menyingah ke pipi mulusnya.
“ Awak... Saya tanya, saya mahu berbincang sahaja.” Zara cuba menyakinkan Azril supaya membuka mulut tetapi masih tiada respon.
            “ Hello?”
            “ Ada ni, kenapa?” Begitulah perbualan antara Zara dan Azril. Azril sudah tidak seperti diawal-awal percintaan. Ada sahaja yang ingin dia bercerita kepada Zara.
            “ Saya tanya Sia-“ Belum sempat Zara menghabiskan ayatnya, Azril memotong.
            “ Ish, awak ni telefon saya nak bergaduh je keje! Lantak perempuan tulah nak post apa-apa pun pasal saya! Yang awak sibuk sangat kenapa?! Bukannya saya nak tinggalkan awak pun! Nanti pun saya kahwin dengan awak juga, yang awak sibuk sangat ni kenapa?!” Bentak Azril. Dengusnya seperti singa kelaparan.
            “ Awak buat saya macam saya ni tak wujud, mana saya tak sibuk, ini pun pasal kita.” Jawab Zara dengan penuh sabar. Tangisnya ditahan semampu mungkin. Dia tahu Azril tidak suka orang yang meninggikan suara kepadanya kalau tidak, pasti telefon itu terus dimatikan.
            “ Aii, perempuan ni banyak fikir sangatlah! Buat tak tahu sahajalah, bukan susah pun. Dah tu, nagis, sikit-sikit nagis, serabutlah! Awak pun tahukan saya paling benci perempuan yang kuat menangis, berhenti menangis boleh tak?!” Jerkah Azril tanpa mempedulikan perasaan Zara.
Zara tersekima. Zara pula disalahkannya.
            “ Awak…” Zara sudah kehilangan kata-kata.

            “ Eh dahlah, esok saya ada kelas pagi, saya dah nak tidur. Okay, bye” Azril mematikan taliannya. Zara sudah terjelepok disisi tiang balkoni. Air matanya berjujuran jatuh. Seteguh inikah cinta yang dibina selama bertahun-tahun. Masih kuatkan dia untuk menahan sikap-sikap Azril yang semakin lama semakin melampau? Zara bingung. 

No comments:

Post a Comment